Halaman

Isnin, 13 Mei 2013

Anak pokok Ketup-Ketup

 Pokok Bauhinia Kockiana rajin berbunga sepanjang tahun tak berhenti-henti berbunga di kebun kami. Selalu juga di pangkas tapi tak pernah mematahkan semangatnya untuk berbunga. Pokok bauhinia kockiana tumbuh dengan cepat dan bahagia di kawasan yang menerima cahaya matahari yang banyak. Juga dikenali sebagai pokok ketup-ketup, pokok bunga ini adalah native di negara kita dan tergolong dalam keluarga jenis kekacang (Leguminosae).
 Kebiasaanya tanaman dari keluarga kekacang mampu memproses nitrogen dari udara dan menambahkan unsur nitrogen ke dalam tanah. Oleh kerana pokok ketup-ketup adalah jenis tanaman kekacang ianya tidak memerlukan baja yang mempunyai unsur nitrogen yang tinggi untuk tumbuh dengan baik. Jika diberi baja yang mengandungi unsur nitrogen yang tinggi seperti baja tahi ayam, takut daunnya tumbuh menghijau berkilat-kilat banyak tapi bunganya tidaklah semeriah sebab overdose penangan nitrogen. Mula-mula pokok bauhinia kockiana memanjat pokok jenis ru sekarang tresspassing memanjat pokok bottlebrush pula.
 Biji benih dari kacang pokok ketup-ketup meletup-letup merata-rata dengan jauhnya di dalam Kebun Bahagia Bersama. Lebah-lebah yang besar rajin pergi cium-cium bunga ketup-ketup yang menyebabkan banyak hasil kacang gemuk-gemuk di atas pokok ketup-ketup. Kalau boleh makan kacang-kacang tu pasti sudah lama tukang kebun tuai. Kerap sudah tukang kebun nampak biji benih bauhinia kockiana yang baru sahaja bercambah di dalam kebun.
 Dalam kawasan yang kurang menerima cahaya matahari pun ada anak-anak pokok ketup-ketup menjadikan rumah mereka. Tetapi dalam tempat yang terlindung dengan cahaya matahari pertumbuhannya sangat perlahan. Sebulan dua ni adalah beberapa anak-anak pokok ketup-ketup dipindahkan dalam bekas kitar semula. Yang kelakarnya, semai biji benih tanaman lain tapi dalam bekas tu anak pokok ketup-ketup pula bercambah. Mungkin bijinya terbang jauh masuk dalam bekas-bekas semaian tanpa tukang kebun sedari. 

2 ulasan: