Sebelum kita mula cerita pasal posting hari ni. Yang allergic, lemah jantung dan meremang tengok mahkluk Allah yang tak berkaki elok letak dulu tab, ipad atau smartphone atas katil atau meja. Takut terkejut nanti terjatuh pula gadgetnya habis pecah screen nanti. Hari ni hampir semua koleksi gambar binatang tak berkaki akan dikongsikan. Sejak lepas pertengahan tahun 2017, entah kenapa boleh dikatakan setiap bulan nampak kelibat atau kulit ular yang ditinggalkan di Kebun Bahagia Bersama. Salah satu puncanya ialah makin kurang habitat yang sesuai dan selamat bagi mahkluk yang dicipta oleh Allah yang tidak berkaki. Punca utama adalah pembangunan di sekitar kawasan kampung. Pada dahulunya banyak kawasan berair belukar di tanah kosong sebab kampung ni zaman dahulu adalah bendang sawah padi. Sekarang sudah banyak tanah-tanah kampung yang terbiar ditimbus dan dijual dibahagikan lot-lot kepada orang luar. Memandangkan Kebun Bahagia Bersama macam mini zoo juga, ada nak turut serta jadi ahli pula.
Gambar di atas ular yang panjang boleh banding dengan daun pelepah pisang. Dearest husband terpaksa tamatkan riwayatnya sebab nampak aggresive dan mungkin membahayakan kepada PETs Kebun Bahagia Bersama yang sedang berkeliaran dekat-dekat. Nampak gaya macam ular selar. Jika ada yang lebih arif mohon bantuan kongsi ilmu identification ular-ular ini. Semoga kita semua dapat manfaat kerana species ular ni ikut jenis berbeza-beza juga character dia. Ketiadaan ular juga susah kita, nanti bilangan tikus dan katak terlalu banyak juga merosakkan hasil tanaman. Sebab ular ini juga adalah salah satu makhluk penting untuk ecosystem yang balance. Manusia tak makan tikus dan ular. Tapi tikus ni kongsi makanan dengan kita. Apalah yang nak control bilangan tikus dan katak kan.
Tapi yang paling tragedi dan menyedihkan ialah reban no. 1 di mana ayam-ayam dan itik suka masuk tidur bila senja sudah dilatih sejak kecil. Bila dah masuk semua dalam reban akan ditutup pintunya erat untuk mengelakkan mereka menjadi mangsa musang pada waktu malamnya. Malang tidak berbau bukan mereka mati akibat musang tetapi semburan racun oleh ular yang sudah dalam diam-diam duduk dalam reban itu untuk proses bersalin kulit. Walaupun lalu lalang banyak kali depan reban no. 1 ini, tiada siapa perasan ada penghuni tak berkaki duduk dalam reban ni yang bertukar kulit. Hairan bila tiba-tiba banyak ayam dan itik mati secara tiba-tiba tanpa kesan digigit. Cuma petanda berbuih-buih putih mulut mereka. Yang lebih hairan biasanya itik paling lasak, jarang sekali mereka mati sebab penyakit. Sampai beberapa kali kami tukar air minuman mereka, tukar punca segala. Mulanya ingat air telaga ada masalah kualiti dia sebab itikkan suka banyak minum air. Dahlah sebelum perasan puncanya, beberapa malam mereka masih datang tido terkurung dengan ular tu. Tapi bila kami sedar sudah tiada ularnya tinggal kulit sahaja. Itu yang rasa nak meraung bila sedar kenapa semuanya lemah mati yang duduk dalam reban no. 1. Tragedi dan pengajaran kepada kami.Tengoklah betapa cantik dan berkilat-kilat peninggalan kulitnya. Memang ular besar dalam ni tapi tak disedari.
Ada juga miracle dalam kisah ni, ayam-ayam yang paling boleh revive lepas lemah longlai kena semburan racun adalah baka ayam selasih yang daging hitam. Walaupun baka ayam selasih yang kami bela adalah kacukan bukan pure breed, masih kuat antibody badan mereka dapat pulih dari racun. Berbuih-buih mulut kacukan ayam selasih tetapi mereka dapat pulih sedia kala. Ayam kampung baka jenis takde kacuk selasih semua terpaksa jadi baja kompos. Sekarang Tukang Kebun faham kenapa kalau nak kuatkan badan semula macam lepas pembedahan orang kata buat sup ayam selasih.
Ada satu juga dapat dipelajari dari tragedi ini, biasanya angsa-angsa masuk juga dalam reban dengan ayam dan itik-itik lain sebab kena tabur makanan. Masa ada si Ular di dalamnya angsa-angsa memang refuse tak nak tidur masuk dalam reban walaupun kena umpan dengan makanan kegemaran. Mereka tidur dekat luar je dekat pagar. Maknanya angsa-angsa tu dah alert yang ada benda bahaya dalam reban tersebut. Cuma kami yang kurang peka. Sedih sangat kehilangan banyak ayam-ayam dan itik-itik kesayangan macam tengah berperang begitu sahaja. Itu sebab lama takde mood nak cerita pasal PETs di kebun belakang. Hiba hati ku.
Lepas tu jumpa lagi kulit ular besar dan panjang berdekatan rumah macam species sama je ni beberapa bulan selepasnya. Cepat benar membesar panjang kulitnya ni. Cukup makan agaknya...sobsobsob.
Yang tak boleh tahan ada satu pagi tu buka pagar depan nak keluar dengan kereta sekali, tengah-tengah luar pagar depan tu ada anak ular sawa pula mati entah dari mana. Tahu mati sebab semut-semut dah kerumun kat kepalanya. Hai ni saiz anak, mana pula parents dia. Kalau dulu masa kawasan kami prone banjir, masa banjir boleh nampak ular-ular sawa saiz besar sedang selamatkan diri bertenggek atas tiang jambatan. Awal-awal dulu masa kami pindah rumah sini, mak mula bela ayam selalu gak ular sawa masuk reban. Masa di Kingfisher, Kota Kinabalu ni pun ada ular sawa masuk reban mini mak (related posting klik sini).
Yang paling terkejut bulan lepas ada tetamu datang pula sebab dia nak menyelamatkan diri dia sebenarnya. Kasihan pun ada juga sebenarnya. Kebetulan Tukang Kebun dan anak-anak tiada di rumah masa ni. Suami Tukang Kebun pun baru lepas masuk rumah berkebun, dah bersih diri dan solat zohor tengah baru nak rehat-rehat di ruang tamu. Sekali hairan kenapa pula anjing pungutan dari puppy sedang membesar remaja dia menyalak-nyalak semacam. Lepas tu menyalak bukan dekat pagar dekat tepi rumah. Syukur Alhamdulillah kebetulan hari tersebut, pintu depan dan sliding door ruang makan pintunya tak dibuka untuk pengudaraan. Kalau tak tetamu yang tak diundang ni boleh masuk rumah ni. Hubby Tukang Kebun dah agak dah si tedung ni datang dari arah mana. Habitatnya sedang kena bulldozer kasi bersih masa serentak dia larikan diri untuk projek pembangunan rumah. Jadi si Tedung ni terpinga-pinga sedang melarikan diri. Kasihan kepada ular cantik. Angkara manusia segalanya sebab pembangunan makhluk-makhluk Allah yang lain hilang rumah/habitat akibat kita juga yang ambil. Sama juga dengan monyet-monyet yang masuk dalam kawasan perumahan dikatakan buat pelbagai vandalism. Walhal asalnya mereka yang duduk kawasan situ dahulu. Manusia pun akan memberontak jika rumah mereka diambil. Manusia yang sukar nak duduk harmoni dengan makhluk-makhluk Allah lain sebenarnya, semua kita nak.
Tanah yang sedang dikemaskan satu ekar tiada apa-apa ditinggalkan pokok di atasnya tu arah barat laut dari depan rumah Kebun Bahagia Bersama. Asalnya semasa kami pindah ke sini hanya ada jiran rumah depan sahaja. Tanah seekar yang diapit kiri kanan kami memang terbiar sahaja. Lebih sedekad juga lah sejak kami pindah hanya ada jiran depan sahaja paling dekat. Awal-awal masa pindah sini, selalu nampak ular daun hijau atas pokok-pokok yang Big Boss tanam dalam pasu lepak, sekarang macam lama dah tak terserempak. Dulu hanya pecahan jiran-jiran adalah kiraan seekar sekarang dah lot. Sekarang kalau di kampung kami ni satu ekar dibahagikan 12 lot. Harga satu lot sekarang pun jauh lebih mahal dengan asal beli 1 ekar tanah dua dekad lalu. Tanah barat laut tu kan sebelum jentolak kasi sorong bersih semua ada pokok rambutan tua tumbuh di situ sebelum kami pindah lagi. Kalau waktu maghrib, Tukang Kebun intai ke pokok tu boleh nampak benda besar macam kelip-kelip (ahem tapi bukan kelip-keliplah) berterbang-terbangan kat atas pokok rambutan tua tu). Jiran depan pun biasa juga nampak apa yang Tukang Kebun nampak malam-malam cahaya berkilat-kilat.
Balik semula kepada tetamu yang baru hilang rumah ni. Nampak dari susuk badannya macam dah otai betul ni. Cantik sangat. Memang suami pun kata tak sampai hati. Riwayatnya dah lama ni. Nampak matang. Jadi cuma dinasihatkan pergi ke tempat lain. Lepas baca ayat Al-Quran elok ular tu pergi je. Cuma anjing-anjing remaja ni je kurang pengalaman bertembung ular lagi pergi dekat siapa suruh curious sangat. Nasib baik ular ini jenis yang dah berusia dia tak aggresif cuma bagi warning sahaja jangan dekat. Oleh kerana banyak sangat mahkluk yang boleh jadi bahaya, maka selepas berdebat-debat agree-not agree untuk keselamatan seisi keluarga ambillah anjing angkat yang diberikan nama 'Cookie' and 'Brownie'. Masa puppy lagi kena bela, masih muda baru beberapa bulan je umur sedang membesar. Kawan Hubby ambil dari tempat kerjanya. Ramai sangat orang luar yang duduk dalam jalan sama sekarang ni sampai kami pun ramai tak kenal ini jiran ke tidak. Maka memikirkan laman yang luas dan keselamatan semua ahli keluarga, tugas menjaga ini diberikan kepada 'Cookie' and 'Brownie'.
Baru sahaja kedatangan ular tedung dewasa ini di Sungai Buloh, kediaman mak di Kota Kinabalu pun didatangi ular tedung beberapa hari lepas itu. Tapi ular tedung yang datang sana jauh lebih kecil macam baru nak remaja. Yang ni amat aggresif mungkin juga sebab anjing Mak yang lebih dewasa memang nak bunuh habis-habis ular tedung tu. Mak masa tu hujung minggu sibuk uruskan homestay di kampung. Hari esoknya dia balik, lumpuh terus anjing kesayangannya. Habis kami semua adik beradik kecuali yang bongsu kena marah sebab tak bergegas hantar anjing dia ke klinik haiwan. Menangis-nangis teresak-esak mak menunggu nasib anjing kesayangannya dibawa bergegas ke klinik haiwan. Anjing si Mark tu la teman setia mak bila berkebun yang menjaga keselamatan mak. Syukur Alhamdulillah dah sembuh pulih sediakala anjing kesayangan mak, teman dia berkebun di luar.
Dari pengalaman Tukang Kebun terserempak dengan ular-ular, biasanya kalau yang ular matang dia tak aggresif. Kalau kita pun terberhenti tak buat reaksi panik atau nak cederakan dia biasanya ular matang akan beredar. Yang remaja aggresif sikit kena hati-hati macam manusia cepat melatah. Bagaikan manusia, makin berumur making matang fikirannya. Ini je koleksi ular-ular yang bertandang sempat ambil gambar, walhal banyak lagi.
Bila dikira-kirakan macam sekurang-kurangnya lebih 5 species ular, Kebun Bahagia Bersama sustain secara semulajadi. Memang biodiversity ular di KBB banyak. Kekadang Tukang Kebun kena intai-intai juga antara polibeg hitam (related posting klik sini). Itu sebab tak berapa gemar kalau semuanya polibeg hitam berderet.
Bila Tukang Kebun tunjukkan video yang papa record ke Ilhan, terus Ilhan lontarkan soalan kepada Tukang Kebun apa beza ular tedung ni dengan yang ular tedung India? sponton je Tukang Kebun balas ntah mama tak tau. Terus Ilhan turun cari buku-buku half-komik yang dibelikan selalunya upah menolong di kebun. Lantas dia tunjuk kat Tukang Kebun, mama tengok ni, ular yang datang tu belakang kepala dia bulat satu, kalau yang tedung India bulat dua. Terpegun Tukang Kebun dengan photographic memory si Ilhan masa tu (sikit lagi nak terlopong), I never thought he can remember straigthaway what he had read for quite sometime already. Bukunya pun dah tak de kulit buku, hancai. Ilhan terus dapat identify yang datang tadi tu Ular Tedung Monoclad. Thanks to Ilhan, dapatlah kami sama-sama timba ilmu mengenai ular ini. Ya memang apa yang ditulis sifatnya, memang seperti gelagat dalam video itu. Ular Tedung Monoclad ni biasa sifatnya tak aggresive dan akan elak dari bergaduh. Suka tinggal kawasan yang ada air.
Rujukan jenis-jenis ular di Malasia yang ada nilai perubatan (Click Here)
Angsa-angsa di Kebun belakang pun mainkan peranan penting sebagai alarm bising juga kalau ada tetamu tak diundang. Paling bising kalau ada biawak meronda-ronda. Buah kegemaran mereka ni buah nangka masak. Selalu dapat upah. Memang lepas dapat upah pandai berterima kasih datang-datang manja.
Hujung minggu ni jika nak self-collect ada buah nangka muda besar saiznya.
1 biji buah nangka muda RM5.00 .
Puas buat gulai sayur nangka.
Kekadang boleh buat frozen stok, potong-potong dulu cube size, celur sekejap kemudian frozen. Bahagi-bahagikan portion nak keluarkan masak sekali.
3 ulasan:
Angsa itik and juga ayam boleh perasan akan kehadiran ular. Mereka 'tegur' kata orang kampung kami. Cuma kita biasa nya kurang peka.
Ya Allah mama baca sampai khatam sambil ternganga.. berani juga tk Dan family. Kalau mama ukar daun pun dah terjerit2 dah haha.. semoga keluarga tk sentiasa dilindungi. Cubalah letak beleramg area reban tu
Salam Bahagia Sis meintheswim,
Ya yang tak berkaki ni memang tak berapa perasan jadi kurang peka sebab jarang ada bunyinya kecuali dia rasa terancam.
Salam Bahagia Sis Mamapp,
Moganya kita semua sentiasa dilindungi.
Terus suami keluar beli belerang bila dah pelawat tu beredar. Habis satu rumah diletaknya belerang dengan reban-reban.
Catat Ulasan