Syukur Alhamdulillah di kala PKPB ini banyak rezeki musim buah limau telur buaya di Teratak Kiulu Lodge sehingga tak terguna semua buahnya berguguran terbiar di tanah. Banyak buah yang dah ranum sehingga kuning kadangkala tak perasan dah jatuh bawah pokoknya. Pada musim hujan ini pokok limau telur buaya makin tumbuh merimbun. Manakala buah yang sarat dan makin berat menyebabkan ranting-ranting sampai cecah menyarap ke tanah. Sambil tuai buah yang dah meranum boleh juga buat aktiviti pruning pokok-pokok limau telur buaya tersebut. Lagipun nak permudahkan pergerakan kelulut yang bonda letak di bawah pokok limau telur buaya keluar cari makan. Bantuan kelulut menjayakan pendebungaan buah limau telur buaya menjadikan banyak hasil buah limau telur buaya. Bagi yang berminat boleh tonton video link di bawah dari mula pokok limau telur buaya menghasilkan kudup bunga, apabila bunga kembang mekar dan jalin hubungan symbiosis dengan kelulut seterusnya menghasilkan buah limau yang sudah dapat dituai sekarang. Di dalam video tersebut dikongsi juga aktiviti pruning buah limau telur buaya yang dilakukan bulan lepas. Setelah pangkas ranting-ranting pokok limau telur buaya dalam 2 minggu lebih kelihatan pucuk baru tumbuh di tempat yang terdedah dengan cahaya matahari.
Video Link < https://youtu.be/Nh62gUH_M8A>
Semasa pruning pokok limau telur buaya yang ayam-ayam pun ambil kesempatan sibuk mencakar tanah di bawahnya untuk mencari cacing-cacing. Macam animal instinct juga ni sebab masa canopy pokok tutup sampai merimbun di tanah suhu tanah lebih sejuk dan cacing akan berada dekat permukaan tanah. Sebelum cacing masuk ke lebih dalam paras tanah, ayam mencari-carilah dulu cacing. Boleh jugalah ayam-ayam ni tolong gemburkan tanah sekali.
Bila dah beberapa plastik penuh dengan limau telur buaya yang dikutip dari ranting sudah dipangkas, cuba rajinkan diri buat ais krim Malaysia untuk anak-anak. Kalau air limau sahaja dibekukan nampak macam air biasa sahaja kan. Jadi mohon anak-anak kutip bunga telang warna biru tu rebuskan dengan gula batu. Kemudian masak sekejap santan pekat dan susu manis berasingan di periuk lain. Sementara tunggu kedua-dua air ni sejuk, perah limau telur buaya ambil jus. Elok campur jus limau telur buaya dengan rebusan bunga telang yang dah suam supaya kita tak hilang banyak nutrient vitamin dari jus limau (nak retain as much as possible). Air bunga telang apabila dicampurkan dengan jus limau ianya akan bertukar dari warna biru ke merah. Ikut kepekatan rebusan air bunga telang yang digunakan juga. Tuang separuh air merah (campuran bunga telang dan jus limau) ke dalam plastik ais krim dahulu. Kemudian baru isi bahagian yang creamy santan dan susu pekat. Ikat plastik dan bekukan secara melintang.
Bolehlah jadikan stok ais krim anak-anak sambil bermain di luar masa cuaca panas. Boleh kuatkan imunisasi badan dengan rich vitamin C dari jus buah limau telur buaya dan zat dari bunga telang juga. Home-made ice cream Malaysia kita boleh kawal kemanisannya.














