Perjalanan ke Semporna pada tahun 2019 adalah dalam hampir sama kewujudan virus Covid-19 muncul dikesan bermula di Wuhan seperti yang dilaporkan. Pada ketika itu, komuniti di kawasan lain di seluruh dunia masih belum ada kesedaran betapa kewujudan Covid-19 ini akan memberikan impak seperti yang kita hadapi sekarang. Cuti hujung tahun lepas 2019 semasa Covid-19 belum lagi sampai ke Semporna kami sekeluarga berkesempatan melawat Tapak Warisan Arkeologi, Bukit Tengkorak. Selain dari melawat muzium, kita juga boleh hiking naik ke puncak Bukit Tengkorak untuk melihat dengan mata sendiri tapak warisan arkeologi ini.
Sepanjang perjalanan hiking menaiki tangga ke atas puncak Bukit Tengkorak, cuba lihat di kawasan tanah beberapa tempat. Tanpa disedari kita sebenarnya memijak artifak serpihan tembikar zaman dahulu kala. Bukit Tengkorak ini dilaporkan adalah tempat pembuatan tembikar terbesar di Asia Tenggara sejak zaman Neolitik lagi. Malahan dikatakan tempat ini telah dihuni oleh manusia sejak zaman Paleolitik lagi. Mula-mula anak-anak yang lebih ringan badan dan berstamina dah mara laju ke atas meninggalkan Tukang Kebun yang tercungap-cungap (salah sendiri tak stay fit). Kemudian Tukang Kebun kata tengok apa yang bertaburan di tanah. Barulah mereka seronok mula beroperasi mencari serpihan tembikar dan cengkerang binatang laut yang juga bersepah di sekitar Bukit Tengkorak ini dari sumber makanan orang dahulu kala. Bolehlah perasan sekejap jadi ahli arkeologi dalam setting semulajadi.
Mustahil cangkerang hidupan laut yang berada di sekitar puncak ini ada secara semulajadi kecuali ada fenomena tsunami yang hanyutkan cangkerang sampai ke tempat tinggi. Jadi ini ternyata orang-orang zaman purba mereka turun di persisiran pantai dan membawa makanan seperti hidupan laut bercangkerang naik ke tempat perlindungan mereka. Ini jadi sebab kukuh kenapa dikatakan Bukit Tengkorak ini suatu masa dahulu memang manufacturer terbesar tembikar di kawasan Asia Tenggara . Malahan memang serpihan tembikar ni merata-rata atas tanah. Kita boleh kutip sendiri bawa balik sebagai cendermata pernah hiking di Bukit Tengkorak ini.
Tiada bayaran masuk dikenakan untuk ke Tapak Warisan Arkeologi Bukit Tengkorak. Cuma tulis daftar nama je di buku log pintu masuk galeri muzium. Malahan masa kami sampai di muzium tiada seorang staf rasmi muzium ada di sana kerana semua ada tugasan rasmi di tempat lain. Mereka memberikan kepercayaan kepada orang tempatan untuk membantu tengok-tengokkan muzium. Ada kanak-kanak yang menjaja di gerai kecil depan muzium panggil wakil tersebut maklum ada pelancong datang. Wakil tersebut pun boleh kita ambil sebagai guide untuk hiking di Bukit Tengkorak (tiada paksaan bagi tips atau honorium, bergantung kepada keihklasan hati kita).
Sepanjang trail hiking official tersebut ada beberapa pondok rehat dan pemandangan indah sekitar Bukit Tengkorak menjamu mata. Tidaklah susah trail tersebut cuma jangan lupa bawa air botol masing-masing. Mungkin boleh pakai topi atau payung untuk teduh kepala dari terlalu panas terik. Tukang Kebun dan anak-anak pun pakai slippers je hiking Bukit Tengkorak ni.
Ada juga kami terserempak seekor ular kecil bergayut di ranting pokok masa naik tangga. Ular tu nampak kami nak skodeng. Ular dia pun jadi malu terus menyusur pergi sorok. Tapi pelancong dinasihatkan jangan ganggu atau memukul binatang-binatang liar. Monyet pun kekadang ada tapi masa kami di sana tak terserempak. Jika dengar perkongsian cerita bersama guide, dia bercerita hidupan liar di kawasan Bukit Tengkorak ini elok jangan dianiaya sebab ada yang memukul ular terserempak semasa hiking menemui kecelakaan selepas balik. Begitu juga kisah-kisah kecelakaan lain yang dihadapi oleh pelawat yang dikatakan buat aniaya dengan hidupan liar yang mereka terserempak semasa hiking di sekitar Bukit Tengkorak.
Apa yang uniknya kawasan sekitar Bukit Tengkorak ini adalah ianya bekas gunung berapi. Disebabkan itu bagi Tukang Kebun formasi landskapnya sangat indah sekali seperti kita rasa bukan berada di Malaysia. Ini kita dapat lihat di mana kesan tinggalan jenis-jenis batu yang terdapat di atas kawasan lapang di puncak Bukit Tengkorak menunjukkan ianya adalah jenis mineral batuan gunung berapi. Mimic seperti kawasan Gunung Berapi di Jepun yang terletak di persisiran pantai. Cuma yang uniknya di Jepun tiada paya bakau. Tapi di Bukit Tengkorak kita boleh lihat di sekitar kawasan rendah bersebelahan pantai terdapat hutan paya bakau.
Dari puncak Bukit Tengkorak ini kita boleh lihat banyak pulau berdekatannya. Bentuk mukabumi pulau ini pun macam dalam cerita animasi Disney Moana. Bahkan kita boleh lihat juga fenomena semulajadi perubahan iklim dunia iaitu peningkatan paras air laut. Seperti gambar di bawah kita boleh lihat sebuah kawasan dah jadi terpisah macam pulau dengan daratan tanah besar. Beberapa dekad lepas, kampung seberang telah terpisah tersebut masih lagi bercantum dengan kampung yang bersama daratan tanah besar boleh naik pengangkutan darat sahaja. Sekarang peningkatan paras air laut yang berlaku di bumi ini menjadikan pengangkutan air digunakan sebagai kaedah perhubungan.
Bila ada bersama guide di tempat yang kita tak berapa kenal, kami berkesempatan juga mencuba off-trail hiking, selain dari hiking menggunakan kayu platform yang telah disediakan untuk mengelakkan dari sesat. Agak menarik juga bila tengok jenis tumbuhan (vegetation) yang ada di sini, agak berlainan dari tempat lain disebabkan jenis mineral batuan gunung berapi yang membentukkan tanah di sini.
Ada sebuah pokok tinggi di sini yang boleh jadi tempat berehat teduh sambil hiking yang buahnya guide kata ada nilai perubatan. Katanya ada orang Cina kekadang ambil buah ini untuk dibuat ubat. Kapsul buah macam bentuk jering dan biji di dalamnya besar macam buah kurma.
Dari tempat abang Ilhan berdiri tu kami turun dari canopy walk dan mula hiking off-trail. Pokok buah gambar di atas pun jelas kelihatan dari situ sebagai landmark. Ada kawasan jenis pokok lalang ni tinggi dari ketinggian Abby ketika itu.
Cantik pemandangan di puncak Bukit Tengkorak ini. Mesti keadaan di sini agak berbeza zaman purba dahulu semasa zaman gemilang komuniti sini menjadi pembuat tembikar terbesar di Asia Tenggara. Jika ikut imaginasi Tukang Kebun pasti banyak juga penempatan rumah dibuat atas ini. Tapak yang ditinggalkan mesti ada sebab musnah tiada peninggalan. Apatah lagi dah jadi macam grassland, di mana kebiasaannya kalau di tempat kawasan lembap tropika ini tanah terbiar boleh menjadi hutan sekunder dengan begitu pantas sekali. Tambahan pula tanah asal dari bahan gunung berapi biasanya lebih subur kerana mempunyai lebih nutrient dari tanah merah di Malaysia. Malangnya tidak banyak kajian dijalankan untuk mengetahui kisah komuniti zaman purba di puncak Bukit Tengkorak ini.
Kalau kita lihat peninggalan tamadun bandar lama di kawasan tinggi di Amerika latin pun yang dikelilingi hutan tebal macam di Malaysia juga, kawasan penempatan tamadun lama ni tumbuhan tak berapa tumbuh atas tapak lama bandar utama dia. Ada yang kekal macam grassland juga. Andaiannya yang boleh Tukang Kebun buat hypothesis memang gah juga komuniti zaman purba buka penempatan di sini dahulu sehinggakan ianya masih kekal tapaknya walaupun pembinaan struktur pembangunan penempatan tersebut tidak sudah kelihatan kerana tumbuhan belum mampu ambil alih lagi kawasan tersebut secara bermaharajalela. Sejarah begini patut dikaji supaya rakyat dapat berbangga dengan warisan tanahair kita dan memupuk sifat patriotik yang mendalam. Ini kita asyik tengok tamadun purba rantau lain. Walhal tamadun purba di nusantara pun tidak tertinggal amat hebat sekali. Faktor utama kebiasaannya kajian tidak dapat dilakukan adalah kerana kekangan kewangan untuk penyelidikan seperti ini.
Jangan lupa kalau di Semporna bila pergi island hoppings untuk menikmati kecantikan lautnya singgahlah juga sokong Tapak Warisan Arkeologi, Batu Tengkorak yang kurang dilawati pelancong. Kenalilah warisan semulajadi kita. Sayang Malaysia.