Setelah meronda-ronda bandar Matsumoto berdekatan Lorong Nawate (related posting klik sini), kami menuju ke Tasik Suwa. Tasik Suwa adalah Tasik Terbesar dalam negeri Nagano dan ke-24 terbesar di dalam negara Jepun. Panjang lilitan tasik ini adalah dalam anggaran 16 kilometer dan berada pada ketinggian paras laut 759 meter dengan kedalaman maksimum 7.2 meter dan purata kedalaman 4.7 meter. Dari Tasik Suwa juga puncak Gunung Fuji boleh kelihatan ikut sudut pandangan tertentu. Anak-anak pun tak pernah ada pengalaman melawat tasik semulajadi, maka Tukang Kebun ambil kesempatan untuk pergi ke sini sebab laut, air terjun dan sungai anak-anak dah biasa teroka. Tasik Suwa kurang dilawati oleh pelancong dari luar negara tapi amat terkenal di kalangan pelancong tempatan terutama pada musim panas dan musim sejuk. Jika musim panas banyak aktiviti air yang boleh dilakukan di sini. Semasa kami di sini pun ada jadual untuk naik bot feri besar macam kura-kura atau angsa putih di atas bagi yang berminat. Kemudian pada musim panas dalam bulan Ogos ke September ada acara pesta bunga api besar-besaran di tengah Tasik Suwa ini yang menarik ramai pelancong untuk berkumpul ke sini menyaksikan percikan bunga-bunga api yang indah atas udara.
Di sebelah timur Tasik Suwa ada Suwa Lake Geyser Centre terdapat punca mata air panas di sini. Dalam sejam sekali dijadualkan ada pancutan tinggi keluar air panas dari pusat tersebut. Semasa musim sejuk masa operasi Suwa Lake Geyser Centre ini disingkatkan sebab itu kami cuba gerak dari bandar Matsumoto dalam tengahari supaya sempat untuk melihat fenomena tersebut. Malangnya kami sempat sampai tetapi Tukang Kebun ralit pula rendam kaki dalam kolam air panas awam yang disediakan berhampiran pusat ini...adoi...hehehe...nikmat rendam kaki dalam air panas selepas berjam jalan kaki hari tersebut.
Air dalam kolam air panas ini tak beberapa panas sebab suhu di luar pun masih sejuk juga. Sambil berehat sambil menikmati pemandangan Tasik Suwa di depan mata. Tidak dibenarkan bawa makanan dan minuman di sini. Cuma jangan lupa bawa tuala kecil siap-siap untuk lap kaki supaya kaki tak basah nak sarung stokin dan kasut semula sebab cuaca masih lagi dingin apatah lagi dah nak masuk lewat petang. Aktiviti rendam kaki dalam air panas (Ashiyu) berhampiran Suwa Lake Geyser Centre adalah percuma . Semasa musim panas dikatakan kita boleh juga tengok matahari terbenam yang indah di sini sambil rendam kaki tapi masa kami di sini cuaca mendung. Perhatikan sahajalah burung-burung besar berterbangan. Ada juga taman reflexology kaki di sini.
Tempat ini juga amat terkenal sebagai destinasi pelancongan masa musim sejuk di mana permukaan air di sini akan jadi ais batu mengeras. Ada fenomena semulajadi unik di sini kerana sumber air panas menyebabkan rekahan ais meretak naik meninggi di permukaan yang penduduk zaman dahulu percaya bahawa semasa itu dewa sedang jalan melintas di atas permukaan Tasik Suwa ini. Fenomena musim salji itu juga menjadi sumber inspirasi untuk anime tahun 2016 "Kimi no Na Wa" (Tukang Kebun pun tak sempat lagi tengok anime ini lagi walaupun dah berapa kali orang recommend). Nak kena tanya adik atau Ilhan ada tak diorang simpan koleksi anime ini. Sempat baca synopsis je. Dalam anime "Rurounin Kenshin" pun ada plot kisah lagenda yang "elixir of immortality" boleh didapati di sini.
Tasik Suwa juga terkenal sebagai tempat terkenal untuk percutian penginapan hotspring pada musim sejuk. Tapi malangnya masa kami di sana tak berkesempatan nak menginap di hotel yang ada hotspring sebab harga tak masuk budget. Jadi kami duduk di hotel budget "Chisun Inn Suwa IC" yang selesa juga untuk kami berlima dan tempatnya strategic banyak family restaurant boleh jalan kaki sahaja mencari makanan. Hotel Chisun Inn Suwa IC furnishing dia nampak baru dan konsep moden serta termasuk sarapan pagi. Selepas puas berendam kaki dalam air panas kami singgah melawat Istana Terapung Suwa yang bernama Istana Takashima sebelum check in di tempat penginapan.
Istana Takashima ini dulu kelilingnya memang dikelilingi air dan berada dalam Tasik Suwa tapi sekarang hanya separuh sahaja ada kena keliling air. Ini disebabkan proses sedimentasi yang akhirnya menyebabkan istana ini terpisah dari Tasik Suwa. Jika nak masuk dalam bangunan Istana Takashima ada dikenakan caj masuk. Tetapi taman di dalamnya adalah percuma bebas untuk lepak. Istana Takashima atau juga dikenali sebagai Istana Shimazaki kini terletak dalam kawasan taman awam berdekatan kawasan perumahan.
Lagipun dalam taman kawasan istana Takashima ini ada sahaja mini taman permainan am untuk kemudahan bersama penduduk dan kemudahan tandas awam. Ada juga kuil di sebelah taman permainan.
Walaupun Istana Takashima ini saiznya tidak gah seperti Istana Matsumoto yang dilawati pada sebelah pagi (related posting klik sini), rekabentuknya juga amat menarik sekali. Istana Takashima ini pun banyak sejarahnya ada hubungkait juga dengan general-general terkenal di bawah Oda Nobunaga.
Pada musim bunga sakura memang kawasan ini antara tempat paling cantik dan popular dilawati di negeri Nagano. Bukan sahaja pada musim bunga sakura tetapi pada musim bunga wisteria yang warna purple panjang tangkainya penuh bunga.
Semasa kami melawat sini boleh agak yang kawasan ini lebih dingin cuacanya dari bandar Matsumoto kerana pokok sakura belum pun ada tanda-tanda nak berputik. Rasanya ada 2 minggu juga gap musim bunga sakura di bandar Matsumoto dan Tasik Suwa ni. Katakanlah kalau melawat Istana Matsumoto bunga sakuranya baru berguguran maknanya masih ada peluang nak tengok bunga sakura di Istana Takashima.
Bagi yang suka pergi tempat yang kurang pelancong dari luar negara semasa melawat Jepun bolehlah consider Tasik Suwa. Nak photography pun best sebab takde gangguan. Semasa kami singgah lawat Istana Takashima pun kami sahaja berada di situ yang lain orang tempatan sedang bawa anak-anak bermain di taman permainan atau anak-anak remaja lepak berkawan.
Di atas ini papan tanda yang Tukang Kebun ambil gambar untuk membantu buat perancangan jika ada pembaca yang nak pusing area sini dengan berjalan kaki sahaja melawat tempat-tempat menarik di sini untuk bagi gambaran (maaf tak berapa jelas ya).
8 ulasan:
bestnya! air nya memang hijau ya?
Pernah nampak gambar bunga wisteria di Jepun. Cantik betul!
Sangat menarik tasik Suwa ni. Ada banyak aktiviti yang boleh dibuat kat sini. Memang seronoklah datang sini. Tak lepaskan peluang ambil gambar banyak banyak tanpa gangguan kalau akak kata tak ramai orang. Seronok tu :)
Salam Bahagia Sis Syaz,
Warna lumut kecoklatan air nya.
Salam Bahagia Kak Amie,
Warna lilac wisteria yang terjurai-jurai memang memikat hati.
Salam Bahagia Sis Azhafizah,
Mungkin masa kami lawat area ni tak ramai pelancong antarabangsa sebab ramai sibuk ke kawasan yang Bunga sakura dah kembang penuh. Orang duduk berdekatan sini je datang beriadah masa tu.
Byk lagi ye tempat2 menarik sekitar situ..bestnyaa ^_^
Salam Bahagia Sis Shida,
Banyak lagi tempat menarik kawasan ini cuma tak sempat explore sebab tak sampai setengah hari siang ada di kawasan ini. Ambil feeling je suasana sini.
Catat Ulasan