Dah setahun berlalu baru dapat kongsi pengalaman Tukang Kebun pergi ke Bangladesh atas urusan kerja. Masa pergi ke sini tak de pun sempat nak buat perancangan nak ke mana-mana dan kami cuma berada di Bangladesh ini selama 5 hari 4 malam dan aktiviti kerja dah padat. Hampir sepanjang masa berada di bandar ke-4 terbesar di Bangladesh iaitu Mymensingh. Fabulous hospitality dari top management Bangladesh Agriculture University (BAU) serta faham yang kaum hawa ni suka shopping, maka ada dekan mohon bantuan isterinya bawa yang kaum hawa ni pergi membeli belah di bandar Mymensingh. Pihak universiti sediakan pengangkutan van ada driver dan siap dengan pengawal sekuriti lagi untuk jaga kami.
Sebelum masuk ke Bandar Mymensingh, madam dekan bawa singgah ke butik kecil sepupunya dahulu. Mula-mula kami hairan bila sampai sebab tak rupa kedai, rupa-rupanya butik kecil tu di belakang rumah. Kain dilipat-lipat tersusun seperti gambar di atas. Nak pilih kenalah keluarkan satu persatu. Siapa yang nak beli kain lepas tu terus singgah tempah jahit pun boleh siap dalam 24 jam dengan harga upah menjahit murah sahaja (tak sampai RM25 upah jahit, dengan demand cepat siap) di bazaar kecil berdekatan kampus university yang tukang jahit di kedai rata-rata golongan lelaki. Di sini sempatlah Tukang Kebun beli 2 helai baju lengan panjang macam ala-ala punjabi tu dengan sulaman penuh kain cotton di bahagian depan baju labuh hingga bawah lutut dengan harga RM40 sehelai sahaja. Nanti pakai dengan seluar panjang atau kain skirt nampak macam baju kurung moden. Murahlah harga kain dan pakaian di Bangladesh ini berbanding dengan jika di Malaysia ikut kualitinya yang baik. Semua teman rambang-rambang mata.
Cuma agak pelik sikit budaya di sini di mana kalau kita beli banyak jadi harga naik pula. Mula-mula Tukang Kebun ingat salah dengar jadi senyap sahajalah sebab macam mula-mula harga sehelai lebih murah dari yang disebut. Lepas tu ada teman beli hampir sedozen macam beg kecil untuk cenderamata, teman ingat kalau beli banyakkan harga ada murah sikit dari harga asal. Tapi sebaliknya jadi harga sebuah jadi naik pula bila beli makin banyak gitu. Teman tu mula terpinga-pinga juga sebab sebelum dia pilih dia rasa disebut harganya sekian sekian. Tapi Tukang Kebun pun kata memang Tukang Kebun pun rasa dia sebut harga asalnya seperti yang teman ingatkan tu jadi dia tak silap dengar. Terpaksalah teman cancel beli sebab dia rasa macam tak berbaloi pula beli banyak tapi harga satu jadi naik pula sebaliknya. Kami pun tak faham kenapa begitu sebab penjual pun tak berapa fasih berbahasa English. Based on madam as interpretor katanya penjual kata dia rugi kalau beli banyak dengan harga yang mula disebut (mmm...kami pun tak cakap banyak sangat lagipun dah ada yang membeli di situ jadi kalau ada yang tiba-tiba tak jadi pun takde la awkward kan). Lagipun kalau kedai kampung begini takde tag harga, jadi lain kali elok tanya dulu kalau beli berapa ketul confirmkan harganya sebelum mula buat pilihan. Jangan ditanya sehelai berapa sahaja dahulu, kalau nak rasa beli banyak tanya lagi berapa kalau beli sekian, sekian ya.
Bandar Mymensingh ini sangatlah sesak dan padat dengan manusia. Walaupun jaraknya taklah jauh dan bukan rush hour dari kampus universiti tetapi nak pergi asyik traffic jem sahaja sepanjang perjalanan. Berhimpit-himpit kereta dan di antaranya kekadang terselit beca. Takut tengok macammana polis traffik buat kerja kat simpang empat. Bandar Mymensingh ini kalau ikut standard bandar Malaysia memang jauh ketinggalan lah. Picture speaks louder than words kan. Kalau di Malaysia pakai kereta grab dan teksi adalah lumrah biasa sudah sekarang. Di Mymensingh mana ada kereta grab lagi, pengangkutan awam macam teksi masih style beca atau tuk tuk la kereta size kecil macam gambar di atas. Cuma bandar Mymensingh ni agak berdebulah, elok juga pakai mask kalau mereka yang ada masalah pernafasan.
Jika di Bangladesh ini memang kebiasaan tengok ramai lelaki pakai kain sarung sahaja melakukan aktiviti seharian bergerak ke mana-mana. Menyesal juga tak beli kain sarung sebab yang kualiti bagus bila di pegang lembutnya like silk walhal pure cotton dan jenis yang pakai selesa sejuk. Tukang Kebun tak berani sangat nak belanja duit ketika ini nak kena kawal sebab hanya RM500 sahaja tunai Tukang Kebun tukar ke duit nilai Bangladesh untuk survive 5 hari 4 malam excluding duit nak bayar yuran penyertaan cash. Kebetulan masa bawa keluar ni pun Tukang Kebun cuma bawa separuh je cash, lain simpan tersorok dalam beg di bilik berkunci. Khuatir tak tahu nak budget duit makan atau penginapan masa ke sini. Lagipun Tukang Kebun pun takde kad kredit semua cash sahaja di tangan. Tambahan pula memang masa pergi ni kekeringan sebab belanja ke Bangladesh ni semua Tukang Kebun gunakan duit sendiri dari return flights, yuran penyertaan persidangan, visa dan lain-lain. Takde kena sponsor langsung, cuma diberi kelulusan pergi sahaja (redha je lah walaupun kita pergi atas urusan ini pihak lain yang dapat juga point MyRA). Teman-teman lain pun begitu juga kebanyakkannya kena kumpul duit sendiri out of own pocket money.
Madam dekan bawa kami singgah makan di sebuah restoran. Restoran di Mymensingh ini tandas lelaki dan tandas perempuan dipisahkan di bahagian lain. Ada juga surau bilik kecil untuk bersolat. Lupa dah nama apa yang isi pes ayam ni dibakar macam ala-ala kebab sedap masuk tekak Tukang Kebun. Tandoori dan nan tu kalau kat negara asal memang confirm sedap. Rupa-rupanya makan minum kami pun semua ditanggung oleh pihak penganjur. Syukur Alhamdulillah sebab ada antara pensyarah di Bangladesh Agriculture Universiti pernah berkhidmat sama institusi dengan kami jadi maklumlah pengorbanan yang terpaksa dikeluarkan di sini tanpa sponsor. Tukang Kebun pun terkejut sebab memang duit makan satu sen pun tak keluar dari dompet sendiri dari jejak bumi Bangladesh sampai berlepas kembali ke tanahair semuanya diuruskan oleh Bangladesh Agriculture Universiti. Memang hospitality yang diberikan tu sangat baik tiada yang kurang malah terlebih-lebih. Berebut-rebut mereka nak cuba dapatkan masa untuk bawa makan ke rumah mereka. Namun masa terlalu singkat dan jadual sudah terlalu padat.
Branch kedai yang mereka sarankan pelancong pergi untuk mendapatkan barangan kualiti bagus ialah di kedai bernama Aarong. Kedai Aarong ini pun supply produk mereka di tahap international secara online. Apa yang istimewanya kedai Aarong ini adalah gaji yang diberikan kepada wanita-wanita di kampung untuk buat produk kedai Aarong adalah setimpal dengan hasil atau gaji bersesuaian. Masalah besar di Bangladesh adalah kekurangan peluang pekerjaan. Terutamanya bagi kaum wanita agak tersisih dan adalah tenaga buruh murah berbanding kaum adam. Jadi kaum wanita biasanya kurang mendapat peluang pekerjaan, kalau yang perempuan dapat bekerja professional memang bukan alang-alang tu, memang hebat. Keluar dari International Airport di Dhaka pun poster besar terpampang Women Empowerment bagi mencapai United Nation Development Progamme (UNDP), Sustainable Development Goal. Kerja macam pelayan restoran pun semuanya rata-rata lelaki. Jarang-jarang nampak orang wanita bekerja. Baju-baju di Kedai Aarong ni quality standard lebih hebat dari kedai yang brand bunyi East India di Malaysia tapi harganya 5 kali ganda lebih murah. Sempatlah belikan atuk Abby, papa Abby, Abang-abang Abby sehelai seorang baju kemeja lengan pendek. Baju-baju kemeja Abang-abang Abby pun pure cotton yang memang kualiti import ke negara Eropah baru berharga RM25 sehelai. Kesian Abby mama tak de cash sangat jadi belikan fabric toys je la ya. Selain dari baju, banyak juga cendermata lain boleh dipilih seperti fabric notebook dan lain-lain.
Ini rupa kedai kain di Bangladesh. Macam kedai kain jakel la. Tukang Kebun tukang perhati je sebab dah kekurangan cash bawa, walaupun teman ada kata guna je dia punya dulu. Pelbagai jenis fabrik menarik tengok. Ada pelbagai pilihan untuk buat baju sari juga kainnya. Ada juga kain cotton untuk mohon potong berapa meter kita nak. Cuma di sini kita tak boleh suka-suka pegang sendiri. Nak kena tunjuk mana dan mereka akan hamparkan depan kita nak tengok coraknya lebih dekat. Agak susah juga lah nak pilih sebab tak biasa dan cara susunan mereka lipat dalam almari. Kalau yang pandai menjahit baju memang syok pergi sini boleh rambang mata. Tukang Kebun tumpang tengok kain sutera sari pun mata dah bersinar-sinar. Nasib masih boleh berfikiran logik lagi, dalam hati berdebat bilalah nak pakai kalau beli pun. Kalau nak tengok live boleh click video di bawah.
Cuma satu sahaja tak tahan masa dalam kedai kain ni sebab dia bukan dalam bilik aircond dan terbuka luas pintu kedainya. Jadi agak berhabuk dalam kedai ini walaupun kain warna-warni rambang mata. Lagi-lagi bila dia tarik kain tu dari almari pastu hempas ke bawah lantai rasa berdebu seketika. Memang nak tutup mulut rasa, elok pakai masks bila keluar shopping di Mymensingh yang bukan dalam keadaan aircond ya. Kalau kedai Aarong tu berhawa dingin dan ada tempat simpan beg di pintu masuk.
Bila masuk waktu Isyak pun masih ramai di bandar Mymensingh ini dan bunyi kenderaan buatkan azan Isyak tak beberapa kedengaran seperti video di bawah ini. Sementara menunggu teman-teman lain memilih kain atau pakaian digemari ingatkan nak berdiri depan luar kedai. Tapi kasihan pula kat pengawal sekuriti yang membawa kami ni macam tak senang duduk risau kerisauan sebelah mata tengok di luar dan sebelah mata di bahagian dalam. Tukang Kebun pun tak sampai hati lebih baik memudahkan urusan pengawal sekuriti tu sebab memang kalau diperhatikan perempuan yang tak pakai tudung macam Tukang Kebun ni macam tak berapa selamat keseorangan. Majoriti di sini masih ada yang terlalu extreme.
Nasib baiklah tak banyak cash di bawa memang lawa-lawalah design bajunya bikin sakit dompet. Kualiti textile yang dijual di butik Bangladesh memang bagus dan coraknya sangat menawan lebih-lebih lagi rasa macam gaya Bollywood. Harga pun mampu milik.
Tukang Kebun malas nak tukar balik saki baki duit cash nilai mata wang Bangladesh sebab buat rugi je bagi komisen lagi kat money changer. Jadi di airport Tukang Kebun beli cadar katil yang bersulam seperti gambar di bawah testing pakai sebelum cuci. Cadar ni bukan printed tapi semuanya disulam.
Tak banyak pun Tukang Kebun membeli sebab bawa mata wang Bangladesh cash tak banyak. Tapi .....honestly deep down in my heart menyesal besar tak korek tabung lagi bawa ke sana. Mungkin itu sahajalah lawatan seumur hidup ke sana kan.